Friday, March 2, 2007
Koma terjatuh tingkat tiga
Kanak-kanak 22 bulan tergelincir dari ruang celah eskalator pusat beli-belah
ALOR STAR: Dia hanya sempat menjamah beberapa butir bertih jagung kesukaannya sebelum terjatuh dari tingkat tiga di sebuah kompleks beli-belah terkenal di bandar raya ini, semalam.
Mohd Syafi Aizat Shahidan yang berusia setahun 10 bulan, dipercayai terjatuh di ruang antara eskalator tingkat tiga kompleks itu kira-kira jam 3 petang.
Dia yang cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star (HAS).
Mohd Syafi Aizat, anak bongsu daripada empat beradik berusia antara lima hingga 12 tahun, sebelum kejadian bersama keluarga baru pulang daripada menghantar anak saudara bapanya, Mohd Irfan Zainon, 13, ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pendang.
Mereka sekeluarga datang dari Taman Sena Indah, Perlis.
Bapa mangsa, Shahidan Baharom, 40, guru sebuah sekolah di Perlis, berkata mereka sekeluarga pada mulanya singgah di Masjid Al-Bukhari berdekatan pusat beli-belah berkenaan untuk bersembahyang.
Katanya, selepas selesai solat, keempat-empat anaknya teringin berkunjung ke pusat beli-belah itu kerana sering ke situ untuk bersiar dan membeli keperluan rumah.
“Bagi tidak menghampakan permintaan anak-anak, saya menurut kemahuan mereka, namun tidak sangka kejadian seperti ini menimpa Mohd Syafi,” katanya ketika ditemui di HAS, semalam.
Ketika kejadian, kata Shahidan, dia berada di tingkat empat bangunan terbabit.
Isteri serta empat anaknya membeli bertih jagung di tingkat tiga sebelum dia turun untuk menjamu selera di tingkat bawah.
Katanya, selepas beberapa minit meninggalkan mereka, dia terdengar jeritan mengatakan ada kanak-kanak terjatuh dan terus meluru ke tingkat bawah.
“Apabila tiba di tingkat bawah, saya dapati kanak-kanak itu anak saya dan terus meminta bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi ambulans.
“Saya lihat Mohd Syafi tidak sedarkan diri dan berlumuran darah lalu saya memangkunya sebelum dia dibawa beberapa pengawal keselamatan pusat beli-belah itu ke hospital,” katanya.
Shahidan berkata, isterinya yang bekerja sebagai pegawai di Jabatan Imigresen Kangar hampir pitam dengan kejadian itu hingga tidak dapat turun melihat keadaan Mohd Syafi yang parah.
Katanya, Mohd Syafi Aizat hanya sempat menjamah beberapa butir bertih jagung kesukaannya, tapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana terjatuh dari bangunan itu.
Katanya, mangsa dirawat di ICU dan masih tidak sedarkan diri dan menyifatkan kejadian itu sebagai takdir.
“Saya menganggap kejadian ini sebagai takdir dan tidak menyangka anak kesayangan saya yang periang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.
Bro Rick Says....
Dimanakah Ibu Bapa ketika anak yg harus diberi perhatian dibiarkan bebas merayau x tentu pasal, dalam kes ni, mak nya sedang beli bertih jagung dan bapa nya nak turun kebawah untuk membeli makanan, adakah makanan itu lebih penting dari nyawa anak mereka...???? nak menangis pon da x guna lah....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment